Air gelas besar sedap, lagi kenyang

  Air gelas besar sedap, lagi kenyang

GELAS besar. Secukup rasa, sedap dan mengenyangkan serta memberikan kepuasan kepada penggemarnya menyebabkan ia menjadi pilihan sebagai alternatif untuk memiliki minuman tersebut di restoran mahal.
Ia digemari semua lapisan masyarakat kerana didatangkan dengan pelbagai perisa dan popular di seluruh negara dimulai di utara tanah air.
Harga yang berpatutan antara RM4.50 hingga RM5 menjadikan ia minuman berbaloi kerana sesiapa sahaja menikmatinya akan merasai kelazatan seolah-olah merasai minuman di restoran mewah.


Harga RM5 sahaja

Bagi ahli perniagaan, Noorshahida Razali, dia mengenali minuman bersaiz gelas besar sejak pertengahan tahun ini.
“Saya selalu melihat ia dijual di Lembah Klang terutamanya di Shah Alam, Klang dan Subang. Saya tidak menyangka ia menjadi minuman kegemaran saya selepas merasai perisa teh hijau.
“Minuman gelas besar ini berbeza daripada minuman lain kerana ia didatangkan dengan air batu yang kecil. Dengan harga RM5, ia berbaloi kerana akan tahan lebih lama,” katanya.
Tambahnya, minuman gelas besar ini sangat lemak, sedap dan pekat.
“Jika tidak membuatnya sendiri di rumah, saya akan membelinya di kedai berhampiran sekurang-kurangnya dua kali seminggu,” katanya yang tinggal di Subang, Selangor.

Pelbagai perasa

Bagi pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Sufi Suhailah Sahak, minuman gelas besar mempunyai pelbagai rasa antaranya lemak, perisa yang dipilih dan manis.
Walaupun harga minuman gelas besar berbeza mengikut tempat, ia tidak menjadikan masalah kepadanya kerana harganya masih murah dan mampu dimiliki.
“Saya mengenali minuman gelas besar sejak setahun lalu apabila mula diperkenalkan pada satu karnival yang dianjurkan Kuis.
“Pada mulanya ia agak janggal dan merasakan tidak mampu menghabiskannya, tetapi apabila mencubanya ia memenuhi cita rasa saya,” katanya.
Bagi ahli perniagaan, Mohd Nizam Abdul Aziz, dia menyukai minuman gelas besar selepas diperkenalkan isterinya ketika sama-sama membeli dapur di Pasar Tani, Seksyen 13, Shah Alam.
“Pada waktu itu dalam keadaan panas, saya cuba membelinya dan memberikan kepuasan kerana  mempunyai  pelbagai rasa. Saya menyukai minuman gelas besar cappucino.
“Jika ingin mendapatkan minuman gelas besar, saya sanggup pergi ke Klang dan Shah Alam. Memang berbaloi membeli minuman gelas besar kepada mereka yang berkeluarga kerana boleh berkongsi sekali gus mengeratkan ikatan kekeluargaan,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya jualan minuman gelas besar di gerai atau kedai biasa, orang ramai tidak perlu lagi berkunjung ke hotel atau restoran mahal untuk menikmatinya.
“Harga yang dikenakan adalah berpatutan dan rasanya setaraf minuman di tempat mahal,” katanya.

Sambutan memberangsangkan
Bagi peniaga minuman gelas besar yang dikenali John Big Cup, Mohd Johan Mohd Sarip, perniagaan yang dijalankan di Taman Perwira Telok Panglima Garang, Selangor amat menguntungkan.
Mohd Johan berkata, walaupun ia hanya sekadar menjadi pendapatan sampingan keluarganya, setiap hari dia mampu menjual lebih 60 gelas. Jualan akan meningkat pada hujung minggu apabila mampu mencecah lebih 100 gelas sehari.
“Alhamdulillah, saya tidak menyangka, sambutan yang diterima memberangsangkan. Saya sekadar suka-suka untuk berniaga minuman gelas besar kerana sering membelinya ketika
pulang ke Kedah dan ia mencetuskan idea kepada saya untuk berniaga di sini.
“Minuman gelas besar di Kedah sangat popular dan di Lembah Klang baru sahaja menjadi trend. Saya berniaga 23 jenis perisa minuman gelas besar dan antara yang menjadi kegemaran ialah coklat vanila, durian, keladi, jagung, cappucino,” katanya.
Tambahnya, walaupun hanya berniaga selepas waktu bekerja iaitu dari jam 6 hingga 11 malam, pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat malah ada yang datang dari luar Lembah Klang.
“Saya hanya menjual RM5 segelas dan Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan. Selain mempromosikannya dari mulut ke mulut, saya juga menggunakan media sosial seperti Instagram dan Facebook.
“Penyediaan minuman gelas besar sangat mudah kerana hanya memerlukan ais, susu cair dan susu pekat serta perisa yang diinginkan. Selain berniaga di rumah, saya juga mengambil tempahan untuk majlis perkahwinan atau apa sahaja,” katanya.

Sinar Harian.

Ulasan